Thursday, 5 July 2012

Insomniakah Aku

Pejamlah wahai mata!! Rehatkan Minda!! Tidurlah!!

Kenapa? tak boleh tidur ye (cam aku jek)

Memang la aku ni susah nak tidur coz mata aku tak mo pejam..dah tak mengantuk caner nak tidur..kalau mata mengantuk hai lena kot aku tidur zZZZZ

Aku try cari pasal insomnia (kot2 aku tergolong dalam penyakit tak boleh tidur/susah nak zZZ)
terjumpa satu artikel pasal insomnia neh..Kalau rajin boleh baca sampai abeh..kalau malas tak payah la baca (panjang okeh) Selamat Membaca ;)


INSOMNIA
RAMAI yang percaya, apabila usia semakin meningkat, keperluan untuk tidur semakin berkurangan. Sebetulnya, bukan usia yang menentukan sama ada seseorang itu perlu mengurangkan atau melebihkan masa tidur. Tetapi, kemampuan untuk tidur dalam tempoh jangka masa yang panjang menurun apabila usia meningkat.

Tanpa kita sedari, secara puratanya hampir satu per tiga daripada hidup kita dihabiskan untuk tidur.
Ini kerana tidur yang `sihat' dan `berkualiti' penting untuk tubuh, terutama otak serta lain-lain organ untuk berfungsi secara optimum.

Kajian saintifik oleh sepasukan penyelidik Jerman juga menyokong, tindak balas sistem pertahanan menjadi lebih kuat pada vaksin kepada mereka yang mempunyai tidur malam yang berkualiti.
Sebaliknya, mereka yang tidak mendapat tidur yang mencukupi biasanya akan kelihatan tidak bermaya keesokan harinya.

Malah, jika dibiarkan berlanjutan, individu terbabit akan menjadi kurang bertenaga, mood tidak stabil, kurang motivasi dan daya tumpuan serta keletihan. Justeru, jangan ambil mudah jika tidur anda pada waktu malam terganggu.

``Jika dalam tempoh seminggu tidur anda terganggu dan ia bukan berpunca daripada faktor-faktor seperti tertekan, masa tidur yang tidak menentu atau tabiat suka minum minuman yang mengandungi caffein seperti kopi atau teh selepas pukul 4 petang.

``Atau keadaan tempat tidur, tabiat merokok, minum caffein, persekitaran di luar rumah atau jadual kerja yang sering berubah-ubah, maka anda perlu berjumpa doktor,'' kata Profesor dan Pakar Perunding Kanan Neurologi dan Timbalan Dekan (Pengajian Siswazah dan Penyelidikan), Fakulti Perubatan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Raymond Azman Ali.

Menurut beliau, seseorang yang menghadapi masalah untuk tidur atau tidak mendapat tidur yang berkualiti pada waktu malam dikategorikan sebagai mereka yang menghidap insomnia.

Insomnia, membabitkan beberapa ciri berikut seperti:
* Sukar untuk mula tidur (dianggap sebagai permulaan insomnia)
* Mudah tidur, kemudian terjaga dan tidak boleh tidur semula (kronik insomnia)
* Mudah tidur, tetapi terjaga setiap satu jam dan tidak boleh tidur (fragmented sleep)

Secara fisiologinya, insomnia tidak dikategorikan sebagai sejenis penyakit. Boleh dikatakan, hampir setiap individu mengalami insomnia sekurang-kurangnya sekali dalam fasa kehidupan mereka.
``Masalah kewangan atau pelajar yang akan menduduki peperiksaan biasanya berdepan dengan insomnia jenis ini,'' ujarnya.

Keadaan ini bagaimanapun, tidak mengundang sebarang masalah dan tidak menjejaskan. Tetapi, ia perlu dirawat jika insomnia yang dihidapi mengganggu rutin harian individu terbabit.
``Sekiranya insomnia tersebut menyebabkan fungsi harian individu terbabit terganggu sehingga dia tidak boleh bekerja, sebaiknya berjumpa doktor untuk mengetahui puncanya
``Rata-rata, mereka hanya datang berjumpa doktor setelah sebulan berdepan dengan masalah ini atau insomnia yang dihidapi telah serius,'' kata beliau.

Tidur, sebetulnya merupakan satu proses yang kompleks. Mengikut kajian sains, banyak bahagian otak yang mengawal dan mempengaruhi tidur pada tahap yang berbeza-beza.
Tidur yang normal akan melalui beberapa fasa. Fasa ini terbahagi kepada:
* Tidur yang membabitkan pergerakan mata tidak laju (Non Rapid Eye Movement - NREM Sleep)

Fasa ini akan berlaku dalam tempoh satu jam pertama tidur. Ia membabitkan:
a. Tahap I - Rasa mengantuk
b. Tahap II - Tidur-tidur ayam
c. Tahap III dan IV - Tidur mati.

Seperti gear kereta, tahap ini boleh berubah-ubah dengan bermula dari tahap I ke tahap II atau sebaliknya mengikut urutan.
* Tidur yang membabitkan pergerakan mata laju (Rapid Eye Movement - REM)
Fasa ini berlaku dalam tempoh dua jam pertama selepas tidur. Pada fasa ini individu terbabit akan bermimpi, pergerakan mata menjadi laju, berdengkur lebih kuat dan otot-otot kerongkong menjadi kendur.
Peringkat tidur ini dibahagikan kepada beberapa tahap melalui rakaman gelombang otak (EEG) dengan persetujuan antarabangsa.

Rakaman ini bagaimanapun, memerlukan jangka masa yang panjang.
Menurut Prof. Raymond, setiap individu mempunyai keperluan tidur yang berbeza-beza. Justeru, sebetulnya, tiada satu tempoh piawaian berapa lama seseorang perlu tidur.
``Secara puratanya, sebahagian besar individu memerlukan antara tujuh hingga lapan jam waktu tidur yang berkualiti sehari.

``Ada sesetengah yang lain masih dapat `berfungsi' dengan baik keesokan harinya sekalipun hanya tidur antara empat hingga lima jam saja,'' jelasnya.
Apa yang penting, kunci tidur yang sihat bukan bergantung kepada tempoh masanya, tetapi pola tidur yang tetap. Beliau menegaskan, penggunaan pil tidur seharusnya dielakkan kerana selain menyebabkan ketagihan, ia juga menyukarkan proses mencari punca seseorang sukar tidur.
Selain itu, penggunaan jangka masa panjang atau dos yang berlebihan selama sebulan boleh mengakibatkan kematian. Malah, ada yang menyalahgunakan pil tidur untuk membunuh diri.
Bagaimanapun, pil tidur hanya akan diberikan dalam jangka masa yang singkat dan mereka yang benar-benar memerlukan.

``Sebagai contoh, kemungkinan individu terbabit perlu menghadiri sesi ditemu ramah keesokan harinya yang memerlukan dia tidur secukupnya,'' ujarnya.

Apa itu insomnia?
Ia merupakan sejenis gangguan tidur di mana kualiti tidur seseorang terjejas atau menghadapi masalah tidur.

Tahap insomnia
* Ringan - Berlaku dalam tempoh beberapa hari, fungsi harian hanya sedikit atau langsung tidak terjejas.
* Sederhana - Ia berlanjutan kurang dari sebulan, menjejaskan fungsi harian, disertai rasa letih dan mudah tersinggung.
* Kronik - Masalah sukar tidur yang berlanjutan lebih sebulan, sekali gus menjejaskan fungsi harian. Individu terbabit akan berasa gelisah, mudah tersinggung, letih dan bimbang.

Jenis insomnia
* Insomnia primer
Seseorang yang menghadapi kesukaran tidur tidak disebabkan oleh masalah kesihatan.
* Insomnia sekunder
Seseorang yang menghadapi kesukaran tidur akibat masalah kesihatan yang dihidapinya. Ia mungkin disebabkan oleh penyakit psikiatri atau bukan psikiatri.

A. Psikiatri
* Masalah kemurungan, skizofrenia

B. Bukan psikiatri
* Ubat-ubatan untuk hipertensi, kolesterol, sakit kepala
* Sindrom Pernafasan Terhenti (Sleep Apnea)
* Epilepsi
* Penyakit kegagalan buah pinggang berfungsi, paru-paru, hati
* Pola tidur yang terbalik, tidur siang berjaga malam
* Penyakit Parkinson
* Penyakit Fatal Familial Insomnia (FFI) iaitu
sejenis penyakit genetik tetapi jarang berlaku
* Rest leg syndrome
* Pedih hulu hati
* High altitude insomnia
* Angin ahmar
* Penyakit Alzheimer
* Ketumbuhan otak
* Migrain

Tempoh dan kekerapan berlakunya insomnia juga pelbagai. Insomnia juga terbahagi kepada:

* Insomnia akut
Berlaku dalam jangka masa pendek. Tempohnya mungkin antara satu malam hingga beberapa minggu. Ia biasanya disebabkan gangguan pada emosi atau fizikal termasuklah:
a. Tekanan - bertukar atau kehilangan kerja, kematian orang yang disayangi, berpindah
b. Sakit yang ringan
c. Persekitaran - bunyi bising, cahaya, cuaca terlalu panas atau sejuk,
d. Perubahan masa tidur - jet lag atau syif kerja.

* Insomnia kronik
Berlanjutan sekurang-kurangnya tiga malam seminggu dalam tempoh sebulan atau lebih. Ia berpunca daripada banyak sebab seperti kemurungan, tekanan yang kronik, sakit dan sebagainya.

TIPS
* Mempelajari teknik merehatkan mental dan fizikal
* Tidur pada waktu yang sama pada setiap hari
* Elakkan tidur pada waktu tengah hari
* Melakukan senaman dengan kerap
* Bergantung kepada sesetengah individu, elakkan minuman yang merangsangkan otak seperti kopi atau teh pada lewat petang atau malam
* Jangan merokok
* Belajar menangani tekanan
* Pastikan persekitaran bilik tidur selesa untuk tidur.

No comments:

Post a Comment