Pejamlah wahai mata!! Rehatkan Minda!! Tidurlah!!
Kenapa? tak boleh tidur ye (cam aku jek)
Memang la aku ni susah nak tidur coz mata aku tak mo pejam..dah tak mengantuk caner nak tidur..kalau mata mengantuk hai lena kot aku tidur zZZZZ
Aku try cari pasal insomnia (kot2 aku tergolong dalam penyakit tak boleh tidur/susah nak zZZ)
terjumpa satu artikel pasal insomnia neh..Kalau rajin boleh baca sampai abeh..kalau malas tak payah la baca (panjang okeh) Selamat Membaca ;)
INSOMNIA
RAMAI yang percaya,
apabila usia semakin meningkat, keperluan untuk tidur semakin berkurangan.
Sebetulnya, bukan usia yang menentukan sama ada seseorang itu perlu
mengurangkan atau melebihkan masa tidur. Tetapi, kemampuan untuk tidur dalam
tempoh jangka masa yang panjang menurun apabila usia meningkat.
Tanpa kita sedari,
secara puratanya hampir satu per tiga daripada hidup kita dihabiskan untuk
tidur.
Ini kerana tidur yang
`sihat' dan `berkualiti' penting untuk tubuh, terutama otak serta lain-lain
organ untuk berfungsi secara optimum.
Kajian saintifik oleh
sepasukan penyelidik Jerman juga menyokong, tindak balas sistem pertahanan
menjadi lebih kuat pada vaksin kepada mereka yang mempunyai tidur malam yang
berkualiti.
Sebaliknya, mereka
yang tidak mendapat tidur yang mencukupi biasanya akan kelihatan tidak bermaya
keesokan harinya.
Malah, jika dibiarkan
berlanjutan, individu terbabit akan menjadi kurang bertenaga, mood tidak
stabil, kurang motivasi dan daya tumpuan serta keletihan. Justeru, jangan ambil
mudah jika tidur anda pada waktu malam terganggu.
``Jika dalam tempoh
seminggu tidur anda terganggu dan ia bukan berpunca daripada faktor-faktor
seperti tertekan, masa tidur yang tidak menentu atau tabiat suka minum minuman
yang mengandungi caffein seperti kopi atau teh selepas pukul 4 petang.
``Atau keadaan tempat
tidur, tabiat merokok, minum caffein, persekitaran di luar rumah atau jadual
kerja yang sering berubah-ubah, maka anda perlu berjumpa doktor,'' kata Profesor
dan Pakar Perunding Kanan Neurologi dan Timbalan Dekan (Pengajian Siswazah dan
Penyelidikan), Fakulti Perubatan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM),
Prof. Dr. Raymond Azman Ali.
Menurut beliau,
seseorang yang menghadapi masalah untuk tidur atau tidak mendapat tidur yang
berkualiti pada waktu malam dikategorikan sebagai mereka yang menghidap
insomnia.
Insomnia, membabitkan beberapa ciri berikut seperti:
* Sukar untuk mula
tidur (dianggap sebagai permulaan insomnia)
* Mudah tidur,
kemudian terjaga dan tidak boleh tidur semula (kronik insomnia)
* Mudah tidur, tetapi
terjaga setiap satu jam dan tidak boleh tidur (fragmented sleep)
Secara fisiologinya,
insomnia tidak dikategorikan sebagai sejenis penyakit. Boleh dikatakan, hampir
setiap individu mengalami insomnia sekurang-kurangnya sekali dalam fasa kehidupan
mereka.
``Masalah kewangan
atau pelajar yang akan menduduki peperiksaan biasanya berdepan dengan insomnia
jenis ini,'' ujarnya.
Keadaan ini
bagaimanapun, tidak mengundang sebarang masalah dan tidak menjejaskan. Tetapi,
ia perlu dirawat jika insomnia yang dihidapi mengganggu rutin harian individu
terbabit.
``Sekiranya insomnia
tersebut menyebabkan fungsi harian individu terbabit terganggu sehingga dia
tidak boleh bekerja, sebaiknya berjumpa doktor untuk mengetahui puncanya
``Rata-rata, mereka
hanya datang berjumpa doktor setelah sebulan berdepan dengan masalah ini atau
insomnia yang dihidapi telah serius,'' kata beliau.
Tidur, sebetulnya
merupakan satu proses yang kompleks. Mengikut kajian sains, banyak bahagian
otak yang mengawal dan mempengaruhi tidur pada tahap yang berbeza-beza.
Tidur yang normal
akan melalui beberapa fasa. Fasa ini terbahagi kepada:
* Tidur yang
membabitkan pergerakan mata tidak laju (Non Rapid Eye Movement - NREM Sleep)
Fasa ini akan berlaku
dalam tempoh satu jam pertama tidur. Ia membabitkan:
a. Tahap I - Rasa
mengantuk
b. Tahap II -
Tidur-tidur ayam
c. Tahap III dan IV -
Tidur mati.
Seperti gear kereta,
tahap ini boleh berubah-ubah dengan bermula dari tahap I ke tahap II atau
sebaliknya mengikut urutan.
* Tidur yang
membabitkan pergerakan mata laju (Rapid Eye Movement - REM)
Fasa ini berlaku
dalam tempoh dua jam pertama selepas tidur. Pada fasa ini individu terbabit
akan bermimpi, pergerakan mata menjadi laju, berdengkur lebih kuat dan
otot-otot kerongkong menjadi kendur.
Peringkat tidur ini
dibahagikan kepada beberapa tahap melalui rakaman gelombang otak (EEG) dengan
persetujuan antarabangsa.
Rakaman ini
bagaimanapun, memerlukan jangka masa yang panjang.
Menurut Prof.
Raymond, setiap individu mempunyai keperluan tidur yang berbeza-beza. Justeru,
sebetulnya, tiada satu tempoh piawaian berapa lama seseorang perlu tidur.
``Secara puratanya,
sebahagian besar individu memerlukan antara tujuh hingga lapan jam waktu tidur
yang berkualiti sehari.
``Ada sesetengah
yang lain masih dapat `berfungsi' dengan baik keesokan harinya sekalipun hanya
tidur antara empat hingga lima jam saja,'' jelasnya.
Apa yang penting,
kunci tidur yang sihat bukan bergantung kepada tempoh masanya, tetapi pola
tidur yang tetap. Beliau menegaskan, penggunaan pil tidur seharusnya dielakkan
kerana selain menyebabkan ketagihan, ia juga menyukarkan proses mencari punca
seseorang sukar tidur.
Selain itu,
penggunaan jangka masa panjang atau dos yang berlebihan selama sebulan boleh
mengakibatkan kematian. Malah, ada yang menyalahgunakan pil tidur untuk
membunuh diri.
Bagaimanapun, pil
tidur hanya akan diberikan dalam jangka masa yang singkat dan mereka yang
benar-benar memerlukan.
``Sebagai contoh,
kemungkinan individu terbabit perlu menghadiri sesi ditemu ramah keesokan
harinya yang memerlukan dia tidur secukupnya,'' ujarnya.
Apa itu insomnia?
Ia merupakan sejenis
gangguan tidur di mana kualiti tidur seseorang terjejas atau menghadapi masalah
tidur.
Tahap insomnia
* Ringan - Berlaku
dalam tempoh beberapa hari, fungsi harian hanya sedikit atau langsung tidak
terjejas.
* Sederhana - Ia
berlanjutan kurang dari sebulan, menjejaskan fungsi harian, disertai rasa letih
dan mudah tersinggung.
* Kronik - Masalah
sukar tidur yang berlanjutan lebih sebulan, sekali gus menjejaskan fungsi
harian. Individu terbabit akan berasa gelisah, mudah tersinggung, letih dan
bimbang.
Jenis insomnia
* Insomnia primer
Seseorang yang
menghadapi kesukaran tidur tidak disebabkan oleh masalah kesihatan.
* Insomnia sekunder
Seseorang yang
menghadapi kesukaran tidur akibat masalah kesihatan yang dihidapinya. Ia
mungkin disebabkan oleh penyakit psikiatri atau bukan psikiatri.
A. Psikiatri
* Masalah kemurungan,
skizofrenia
B. Bukan psikiatri
* Ubat-ubatan untuk
hipertensi, kolesterol, sakit kepala
* Sindrom Pernafasan
Terhenti (Sleep Apnea)
* Epilepsi
* Penyakit kegagalan
buah pinggang berfungsi, paru-paru, hati
* Pola tidur yang
terbalik, tidur siang berjaga malam
* Penyakit Parkinson
* Penyakit Fatal
Familial Insomnia (FFI) iaitu
sejenis penyakit
genetik tetapi jarang berlaku
* Rest leg syndrome
* Pedih hulu hati
* High altitude
insomnia
* Angin ahmar
* Penyakit Alzheimer
* Ketumbuhan otak
* Migrain
Tempoh dan kekerapan berlakunya insomnia juga pelbagai. Insomnia juga
terbahagi kepada:
* Insomnia akut
Berlaku dalam jangka
masa pendek. Tempohnya mungkin antara satu malam hingga beberapa minggu. Ia
biasanya disebabkan gangguan pada emosi atau fizikal termasuklah:
a. Tekanan - bertukar
atau kehilangan kerja, kematian orang yang disayangi, berpindah
b. Sakit yang ringan
c. Persekitaran -
bunyi bising, cahaya, cuaca terlalu panas atau sejuk,
d. Perubahan masa
tidur - jet lag atau syif kerja.
* Insomnia kronik
Berlanjutan
sekurang-kurangnya tiga malam seminggu dalam tempoh sebulan atau lebih. Ia
berpunca daripada banyak sebab seperti kemurungan, tekanan yang kronik, sakit
dan sebagainya.
TIPS
* Mempelajari teknik
merehatkan mental dan fizikal
* Tidur pada waktu
yang sama pada setiap hari
* Elakkan tidur pada
waktu tengah hari
* Melakukan senaman
dengan kerap
* Bergantung kepada
sesetengah individu, elakkan minuman yang merangsangkan otak seperti kopi atau
teh pada lewat petang atau malam
* Jangan merokok
* Belajar menangani
tekanan
* Pastikan
persekitaran bilik tidur selesa untuk tidur.